comscore
Tumpuan :
Tular

‘Siap ada pantun, pecah kaca pecah gelas’ – Zulkifli

KUALA LUMPUR: “Insya Allah, nanti pakcik balas kad raya anakanda Nadzrul sekeluarga,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Perkongsian itu dimuat naik ke Facebook miliknya selepas menerima kiriman kad dan kuih raya daripada seorang kanak-kanak 11 tahun, Nadzrul Zarfan Sharul Azly.

Kedua-dua mereka pernah bertemu sebelum ini selepas kisah surat yang ditulis Nadzrul Zafran mengenai halangan menunaikan solat di saf hadapan tular di media sosial.

“Terima kasih anakanda Nadzrul Zarfan atas kiriman kad raya dan hadiah kuih-muih, pakcik amat terharu dengan surat anakanda.

“Pakcik akan ingat nasihat dan pesanan anakanda. Siap ada pantun; pecah kaca, pecah gelas, lepas baca, harap balas,” katanya di laman Facebooknya.

Zulkifli turut berkongsi isi kandungan kad raya nukilan Nadzrul Zarfan yang antara lain mendoakannya dipermudahkan dalam segala urusan serta dilimpahkan rahmat sepanjang menjalankan tugas.

Nadzrul Zarfan juga sempat mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta menasihati bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu untuk menjaga diri, banyakkan rehat dan mengamalkan langkah pencegahan menangani wabak COVID-19.

Kanak-kanak itu turut bertanya mengenai kemungkinan kerjasama menulis dan mengeluarkan buku Bayyan Linnas versi komik untuk menarik minat lebih ramai kanak-kanak menuntut ilmu agama.

Loading...
Terkini