comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Akaun Fleksibel: Rancang teliti pengeluaran elak hilang faktor pengganda simpanan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu merancang teliti dalam membuat keputusan pengeluaran simpanan mereka menerusi Akaun Fleksibel bagi mengelakkan hilang faktor pengganda simpanan persaraan, kata penganalisis.

Faktor pengganda atau ‘compounding factor’ adalah pemangkin mempercepatkan pertumbuhan simpanan pencarum sekiranya simpanan persaraan mereka kekal dengan kadar dividen yang kompetitif.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel masih melindungi simpanan persaraan pencarum.

Beliau berkata, jika melihat nisbah Akaun Persaraan, ia masih mewakili kadar yang tertinggi iaitu 75 peratus dan melebihi Akaun 1 sebelum ini.

“Justeru, aspek pengumpulan wang persaraan masih lagi terpelihara. Cuma apabila wang itu dikeluarkan, maka ahli akan kehilangan faktor pengganda,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam berkata, inisiatif itu dijangka akan memberi impak yang agak ketara memandangkan kecenderungan berbelanja adalah tinggi di Malaysia dan nisbah penggunaan swasta adalah 61 peratus setakat 2023.

Justeru, beliau berkata, sebarang suntikan tunai akan melonjakkan perbelanjaan swasta, yang bersifat kesan jangka pendek.

“Kesan jangka panjang sudah pasti adalah kesukaran untuk mencapai simpanan yang mencukupi ketika bersara kelak. Justeru, faktor literasi kewangan perlu dipertingkatkan agar pencarum tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan simpanan di dalam Akaun Fleksibel,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini