comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

 ASNB umum pengagihan pendapatan 5.25 sen seunit ASB 2, 4.75 sen seunit untuk ASM

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), di sini hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan 5.25 sen seunit untuk Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2).

Manakala 4.75 sen seunit untuk Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024.

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa agihan pendapatan ASB 2 membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM670 juta kepada 552,297 pemegang unit yang kini memiliki 12.73 bilion unit.

Katanya, agihan pendapatan bagi ASM pula membabitkan jumlah pembayaran RM1.33 bilion kepada 699,807 pemegang unit dengan pegangan 28.05 bilion unit.

Justeru, jumlah pembayaran pengagihan pendapatan untuk dua dana harga tetap itu adalah sebanyak RM2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024.

Sehingga 25 Mac 2024, ASB 2 merekodkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM659.95 juta, manakala ASM mencatatkan RM1.4 bilion.

ASNB dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua dana memperoleh pendapatan menerusi pendapatan terealisasi dan dividen daripada pelaburan domestik dan antarabangsa dalam persekitaran inflasi yang tidak menentu serta keraguan terhadap kemelesetan ekonomi yang meningkat.

Ia berkata, kedua-dua dana juga telah memperoleh hasil daripada strategi kepelbagaian portfolio dalam kelas aset lain seperti hartanah dan pelaburan persendirian, dengan penekanan terhadap instrumen pendapatan tetap yang menyediakan pendapatan berulang stabil kepada kedua-dua dana berkenaan.

 

Katanya, pengagihan pendapatan ASB 2 dan ASM adalah bersamaan dengan jumlah pulangan masing-masing sebanyak 5.25 peratus dan 4.75 peratus, kedua-duanya mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada 2.84 peratus sebanyak 241 mata asas untuk ASB 2 dan 191 mata asas untuk ASM.

“Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB 2 dan ASM adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana.

“Pengagihan yang diisytiharkan oleh dana-dana ini akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2024,” katanya.

Urus niaga ASB 2 dan ASM di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet akan ditangguhkan sementara dari 29 hingga 31 Mac 2024 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh meneruskan transaksi di portal myASNB di www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 April 2024.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini