comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia dibuka tinggi pada sesi awal urusniaga

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan lebih tinggi hari ini walaupun prestasi kebanyakan pasaran serantau suram, di tengah-tengah isyarat bercampur-campur di Wall Street dalam tempoh semalaman berikutan sentimen keseluruhan yang kekal berhati-hati, kata penganalisis.

Pada 9.21 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.6 mata kepada 1,535.6 daripada 1,535.0 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran dibuka menokok 0.05 mata kepada 1,535.05.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 308 berbanding 155, manakala 326 kaunter tidak berubah, 1,563 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 408.31 juta unit bernilai RM181.07 juta.

Kebanyakan saham Asia dilaporkan merosot berikutan kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, Wall Street bercampur-campur dalam tempoh semalaman di tengah-tengah situasi yang tidak menentu berikutan peniaga berusaha mengimbangi naratif mengenai kadar faedah selain ketegangan di Timur Tengah.

Oleh itu, Purata Perindustrian Dow Jones meraih 64 mata, manakala Nasdaq Composite susut 20 mata berikutan hasil 10 tahun AS meningkat kepada 4.669 peratus.

“Di dalam negara, FBM KLCI menyaksikan lebih banyak jualan saham mewah, kemungkinan oleh dana asing apabila indeks menyusut di bawah paras 1,540. Jualan juga adalah menyeluruh.

“Kami yakin jualan semalam adalah lebih kepada reaksi spontan terhadap ketegangan yang semakin meningkat di Timur Tengah di tengah-tengah pergerakan dana ke kelas aset lain,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Thong yakin aktiviti belian semasa harga rendah akan berlaku dalam masa terdekat dan menjangkakan indeks akan bergerak dalam jajaran 1,530-1,540 hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini