comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Dakwaan campuran beras plastik tidak benar- BERNAS

 

KUALA LUMPUR: Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menafikan dakwaan penularan mesej berantai di media sosial, bahawa terdapat campuran beras plastik dalam produk keluarannya.

 

Dalam satu kenyataan syarikat itu menegaskan, pihaknya sentiasa memastikan tahap pematuhan piawaian yang tinggi dan pemantauan kualiti yang ketat di setiap peringkat perolehan bekalan beras import dan tempatan.

Katanya, semua jenis beras import yang dibawa masuk ke dalam negara perlu melalui syarat ketat dan proses pemeriksaan kualiti yang rapi bermula di negara pembekal sehinggalah sampai ke negara ini.

“Bekalan beras yang dibawa masuk ke negara ini turut dibekalkan dengan sijil pengesahan kualiti dan spesifikasi beras yang dipantau rapi yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Ini bertujuan bagi mencegah sebarang bentuk penyelewengan yang tidak diingini,” katanya.

Justeru itu, BERNAS memberi jaminan beras import yang dibekalkannya adalah tulen dan selamat untuk penggunaan orang ramai.

“BERNAS ingin menasihatkan kepada orang ramai untuk tidak mempercayai berita palsu yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan atau mendapati wujudnya unsur-unsur yang mencurigakan ke atas produk beras BERNAS yang dibeli, emelkan aduan rasmi di [email protected],” katanya.

BERNAS turut menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan tuduhan tidak berasas untuk menjatuhkan reputasi syarikat itu.

Loading...
Terkini