comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Eksport di kebanyakan negeri alami penurunan bulan lalu

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Prestasi eksport Malaysia pada Mac 2024 bernilai RM128.6 bilion, penurunan sebanyak RM1 bilion atau 0.8 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata penurunan itu dipengaruhi oleh eksport yang lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Selangor (-RM2.1 bilion), Labuan (-RM1.6 bilion), Melaka (-RM686.2 juta), Sabah (-RM443.8 juta), Sarawak (-RM260.9 juta), Pulau Pinang (-RM129.8 juta), Negeri Sembilan (-RM118.5 juta), Johor (-RM44.6 juta) dan Perlis (-RM27.0 juta).

Walau bagaimanapun, katanya nilai eksport meningkat di Perak sebanyak RM1.5 bilion, Kuala Lumpur (RM1.3 bilion), Terengganu (RM929.9 juta), Pahang (RM522 juta), Kedah (RM151.7 juta) dan Kelantan (RM36.2 juta).

“Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 32 peratus, diikuti oleh Johor (20 peratus), Selangor (16.9 peratus), Sarawak (8.1 peratus) dan Kuala Lumpur (4.5 peratus),” katanya dalam satu kenyataan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri Mac 2024 yang diterbitkan oleh DOSM, hari ini.

Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM244.5 bilion pada Mac 2024 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM128.6 bilion dan RM115.8 bilion.

Beralih kepada prestasi import mengikut negeri, Mohd Uzir memaklumkan import pada Mac 2024 meningkat RM12.9 bilion atau 12.5 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Katanya, peningkatan disebabkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM8.2 bilion), Melaka (RM1.6 bilion), Negeri Sembilan (RM1.2 bilion), uala Lumpur (RM1 bilion), Selangor (RM996.7 juta), Kedah (RM419.7 juta), Pahang (RM152.6 juta), Terengganu (RM92.1 juta), Kelantan (RM71 juta), Sabah (RM55.5 juta) dan Labuan (RM30.3 juta).

Walau bagaimanapun, katanya nilai import jatuh di Pulau Pinang sebanyak RM521.9 juta, Perak (-RM393.8 juta), Sarawak (-RM115.9 juta) dan Perlis (-RM6.8 juta).

“Johor mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 27.9 peratus, diikuti oleh Selangor (23.6 peratus), Pulau Pinang (19.2 peratus), Kuala Lumpur (7.5 peratus) dan Kedah (5.0 peratus),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini