comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

IMF naikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.4 peratus

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2024 kepada 4.4 peratus berbanding 4.3 peratus yang diunjurkan sebelum ini.

Dalam Tinjauan Ekonomi Dunia April 2024, IMF masih mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar Malaysia sebanyak 4.4 peratus bagi 2025.

Institusi kewangan antarabangsa itu juga mengunjurkan kadar inflasi di negara ini pada paras 2.8 peratus bagi 2024 dan 2.5 peratus bagi tahun depan.

“Kadar pengangguran pula diunjurkan 3.5 peratus bagi 2024 dan 2025,” kata IMF dalam laporan terkini tinjauan ekonominya itu.

Mengenai unjuran akaun semasa Malaysia, IMF mengunjurkan Malaysia mencatatkan lebihan akaun semasa 2.4 peratus daripada KDNK bagi 2024 dan 2.7 peratus pada 2025.

Unjuran lebihan akaun semasa bagi 2024 itu dilihat sejajar dengan unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1.8 peratus hingga 2.8 peratus.

Bagi 2024, BNM mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus, dipacu peningkatan berterusan dalam perbelanjaan isi rumah, kemajuan dalam pelaburan, pemulihan aktiviti perdagangan dan peningkatan berterusan dalam ketibaan pelancong.

Bagi tinjauan ekonomi dunia, IMF juga menaikkan unjurannya bagi 2024 kepada 3.2 peratus, 0.1 mata peratusan lebih tinggi berbanding unjuran sebelum ini.

Bagi ekonomi maju, ia juga menaikkan unjuran sebanyak 0.7 mata peratusan kepada 1.7 peratus berbanding unjuran sebelum ini.

Dalam kalangan ekonomi maju, IMF mengunjurkan ekonomi AS dijangka berkembang 2.7 peratus pada 2024, naik 0.6 mata peratusan berbanding 2.1 peratus.

Walau bagaimanapun, IMF mengurangkan unjuran pertumbuhan bagi kawasan euro kepada 0.8 peratus berbanding 0.9 peratus sebelum ini, dengan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi Jerman dan Perancis dikurangkan 0.3 mata peratusan setiap satu kepada masing-masing 0.2 peratus dan 0.7 peratus tahun ini.

Unjuran pertumbuhan ekonomi bagi pasaran baharu muncul dan ekonomi sedang membangun pula dinaikkan 0.1 mata peratusan kepada 4.2 peratus berbanding 4.1 peratus sebelum ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini