comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia laksana mekanisme penetapan harga bahan api bersesuaian

KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan mencapai keseimbangan dalam menyambut usaha tindakan perubahan iklim global melalui pelaksanaan mekanisme penetapan harga bahan api yang bersesuaian bagi mendorong penggunaan tenaga yang lebih cekap dan peralihan kepada tenaga boleh baharu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pada masa sama, kerajaan mengambil kira impak sosio-ekonomi terhadap rakyat.

“Pendekatan ini sejajar dengan komitmen Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menggalakkan amalan lestari tanpa membebankan rakyatnya,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Amir Hamzah mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga IMF dan WBG 2024 di Washington, Amerika Syarikat (AS) dari 17 April hingga 19 April 2024.

Mesyuarat itu adalah platform untuk membincangkan hal ehwal berkaitan hubungan dua hala dan pelbagai hala antara Malaysia dengan WBG dan IMF serta negara anggota yang lain.

Negara anggota juga akan berkongsi pendapat berhubung pelaksanaan strategi dan dasar negara masing-masing dalam menangani isu semasa ekonomi dan kewangan global dalam sidang plenari dan sesi perbincangan semasa Mesyuarat Mengenai Persefahaman Tindakan Iklim Menteri-Menteri Kewangan (CFMCA).

Pada sela-sela Mesyuarat Musim Bunga itu, Amir Hamzah mengadakan sesi libat urus dengan agensi penarafan kredit (CRA) antaranya Standard and Poors (S&P), Moody’s dan Fitch.

Beliau turut berkongsi dan bertukar pandangan dengan ketua delegasi daripada negara anggota lain berkenaan perkembangan ekonomi negara dan global melalui mesyuarat-mesyuarat dua hala yang telah dijadualkan.

Amir Hamzah mengadakan perjumpaan dengan pegawai kanan IMF dan WBG untuk membincangkan hala tuju program dan aktiviti yang dilaksanakan di bawah kerjasama Malaysia dengan IMF dan WBG.

Penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat Musim Bunga IMF dan WBG itu penting sejajar dengan komitmen berterusan negara dalam usaha menggiatkan pertumbuhan secara bersama, khususnya dalam perkembangan ekonomi serantau dan global.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini