comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

‘Malaysia mungkin import gas sepenuhnya jana tenaga elektrik’

KUALA LUMPUR: Malaysia berkemungkinan perlu mengimport gas sepenuhnya menjelang 2050 untuk menjana tenaga elektrik jika kerajaan tidak membuat peralihan kepada penggunaan tenaga yang lebih bersih, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, setakat tahun lalu, Malaysia mengimport sebanyak 25 peratus gas untuk menjana tenaga elektrik dan keadaan itu dilihat akan berterusan di mana tahun ini negara dijangka akan mengimport sehingga 30 peratus gas untuk tenaga elektrik.

Justeru, jelasnya, kerajaan melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) supaya negara tidak ketinggalan dalam peralihan global ke arah penggunaan tenaga bersih.

“Tahun lalu jumlah gas yang kita gunakan untuk menjana elektrik, 25 peratusnya perlu diimport dan tahun ini dijangka jumlah itu meningkat 30 peratus.

“Sekiranya keadaan ini berterusan sudah pasti pengeluaran gas dalam negara semakin menurun dan jika tiada sebarang tindakan dibuat menjelang 2050, kita akan bergantung kepada import gas untuk menjana elektrik negara,” katanya pada program ‘INTAN Minister’s Conversation’ (IMC) 2024 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini, hari ini.

IMC adalah salah satu daripada Program Bicara Intan membabitkan pemimpin tinggi kerajaan dan juga perkhidmatan awam yang membincangkan perkara berimpak tinggi berkaitan dengan isu dan dasar semasa negara, serta berskala besar dengan tema tertentu.

Wacana untuk siri IMC yang pertama itu memfokuskan berkenaan dengan usaha dan upaya pembinaan dan pembangunan ekonomi yang mampan di negara kita demi kesejahteraan rakyat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini