comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri dagangan minggu ini pada kedudukan yang lebih baik berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, mungkin disebabkan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama AS yang lebih rendah daripada jangkaan.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7650/7710 berbanding dolar AS daripada 4.7745/7775 ketika ditutup pada Khamis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit lebih kukuh juga mungkin disokong oleh keadaan unit tempatan yang terlebih jual, harga tenaga lebih tinggi dan persekitaran risiko domestik yang agak stabil.

Ekonomi AS mencatatkan pertumbuhan 1.6 peratus bagi suku pertama berbanding unjuran konsensus pada 2.5 peratus.

Data AS semalaman juga menunjukkan inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan di samping pertumbuhan lebih lemah daripada yang dijangkakan, mencetuskan penjualan aset berisiko dan lonjakan hasil Perbendaharaan AS.

“Senario ini lazimnya menimbulkan masalah bagi ringgit. Walau bagaimanapun, ringgit mengalami hari yang agak tenang dan sebenarnya ditutup sedikit lebih kukuh,” katanya kepada Bernama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini