comscore
Tumpuan :
Dunia

Cucu pemimpin Hamas meninggal dunia

Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh. – FOTO: Reuters

ISTANBUL: Malak Haniyeh, cucu perempuan kepada pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh meninggal dunia semalam selepas mengalami kecederaan dalam serangan Israel yang mengorbankan ahli keluarganya yang lain pada hari pertama Aidilfitri.

Tiga anak lelaki Ismail dan beberapa cucunya maut pada Rabu lalu dalam satu serangan udara Israel di sebuah kem pelarian di barat Bandaraya Gaza.

Serangan udara Israel itu menyasarkan sebuah kereta membawa keluarga Ismail di Kem Pelarian Al-Shati semasa mereka mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri kepada penghuni kem berkenaan sempena perayaan itu, saksi memberitahu Anadolu.

Sumber perubatan memberitahu Anadolu bahawa serangan udara itu meragut nyawa tiga anak lelaki Ismail, Hazem, Amir, dan Mohammed, selain mencederakan yang lain.

Sebelum ini, Ismail dilaporkan menegaskan kehilangan tiga anaknya dan empat cucu tidak melemahkan tekad pergerakan itu dalam perjuangan menentang Israel.

“Ini tidak akan melemahkan kedudukan Hamas di meja rundingan mahupun menggugat perang kita melawan Israel,” katanya yang mengetuai biro politik Hamas dari buangan dan juga antara pemimpin paling kanan pergerakan itu.

Beliau juga terbabit dalam rundingan yang terhenti dengan Israel melalui wakil antarabangsa yang berusaha menjadi negara pengantara rundingan gencatan senjata dan memastikan pembebasan tebusan Israel yang diculik Hamas di Semenanjung Gaza.

“Musuh sedang berkhayal jika mereka fikir dengan membunuh anak-anak saya, kami akan menukar kedudukan kami. Kami tidak akan mengalah, tidak kira berapa ramai yang terkorban,” katanya dalam satu kenyataan.

Israel melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023, membunuh lebih daripada 33,700 warga Palestin dan mencederakan 76,400 orang selain daripada kemusnahan kediaman dan infrastruktur pada skala besar dan mengakibatkan kekurangan bekalan keperluan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini