comscore
Tumpuan :
Dunia

Harga gas, elektrik di Singapura turun mulai bulan depan

SINGAPURA: Harga gas dan elektrik di republik ini akan turun untuk tiga bulan akan datang berikutan kos lebih rendah.

Mulai 1 April hingga 30 Jun, isi rumah yang dibekalkan oleh pengendali grid SP Group akan menyaksikan penurunan 0.3 peratus dalam tarif elektrik, menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan semalam.

The Straits Times melaporkan ini bermakna kadar baharu menjadi 29.79 sen setiap kilowatt jam (kWj) sebelum cukai barang dan perkhidmatan (GST), turun daripada 29.89 sen pada masa ini.

Dengan tarif baharu itu, purata bil elektrik bulanan bagi keluarga yang tinggal di flat empat bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan berkurangan sebanyak 33 sen sebelum GST, turun daripada $98.51 (RM345.35) kepada $98.18 (RM344.19)

Secara keseluruhan, tarif elektrik, termasuk untuk perniagaan, akan menurun sebanyak purata 0.4 peratus, atau 0.12 peratus setiap kWj, berbanding suku sebelumnya.

Penurunan itu disebabkan kos tenaga lebih rendah, kata SP Group. Kos yang dibayar kepada syarikat penjanaan kuasa, diselaraskan setiap suku tahun untuk mencerminkan perubahan dalam kos bahan api dan penjanaan kuasa.

Tarif gas bandar akan turun sebanyak 0.03 peratus setiap kWj dalam tempoh yang sama, juga disebabkan kos yang lebih rendah, kata City Energy, pengeluar dan peruncit gas berpaip, dalam satu kenyataan berasingan semalam. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini