comscore
Tumpuan :
Dunia

Kematian akibat denggi di Indonesia naik 179%, Bandung daerah tertinggi

JAKARTA: Jumlah kematian akibat demam denggi di Indonesia tahun ini meningkat 179.4 peratus kepada 475 setakat minggu ke-15, berbanding 170 kematian dalam tempoh sama tahun lalu.

Data dikeluarkan Kementerian Kesihatan menunjukkan kes demam denggi tahun ini juga menyaksikan peningkatan ketara, mencecah 62,001 kes pada minggu ke-15, melonjak 174.9 peratus daripada 22,551 kes yang dilaporkan dalam tempoh sama pada 2023.

Ketua Bahagian Komunikasi dan Perkhidmatan Awam kementerian, Siti Nadia Tarmizi dalam satu kenyataan menyatakan lima daerah dan bandar mencatatkan jumlah kematian tertinggi akibat demam denggi iaitu Bandung (25), Jepara (21), Subang (18), Kendal (16) dan Kota Bekasi (15).

Sementara itu, lima daerah dan bandar dengan jumlah kes tertinggi ialah Tangerang (2,540), Kota Bandung (1,741), Bandung Barat (1,422), Lebak (1,326) dan Kota Depok (1,252).

Portal berita ANTARA melaporkan pada minggu sebelumnya, kementerian merekodkan 455 nyawa terkorban akibat demam itu, dan 60,296 kes direkodkan.

Pada awal April, Ketua Pengarah Pencegahan dan Kawalan Penyakit kementerian, Maxi Rein Rondonuwu, membayangkan kemungkinan peningkatan berterusan dalam jumlah kes sehingga peralihan musim berlaku.

Sehingga minggu ke-13 2024, kes denggi direkodkan sebanyak 53,131 kes, manakala kematian sebanyak 404 kes.

Di sebalik peningkatan kes, pegawai kesihatan menggesa orang ramai bertenang dan menekankan kepentingan menjaga kebersihan diri dan persekitaran bagi mencegah penyakit itu.

Rondonuwu mengingatkan orang ramai supaya menghapuskan sarang jentik-jentik secara berkala dan menyeluruh terutama pada musim hujan.

“Jangan abaikan apa-apa yang boleh menyebabkan lopak air. Sekiranya ia dibiarkan, ia boleh menjadi tempat nyamuk membiak,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini