comscore
Tumpuan :
Dunia

Lebih 5 maut, susulan 35 puting beliung landa tengah AS

Bangunan yang rosak dibadai puting beliung di Sulphur, Oklahoma, Amerika Syarikat (AS). – FOTO: Reuters

WASHINGTON: Sekurang-kurangnya lima maut selepas puluhan puting beliung yang melanda dan memusnahkan sebahagian Oklahoma serta negeri Great Plains berdekatan, kata pihak berkuasa dan media tempatan, semalam.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) berkata, selepas kemunculan 78 puting beliung Jumaat lalu, kebanyakannya membadai Nebraska dan Iowa, suatu sistem cuaca yang berasingan, 35 lagi puting beliung dari utara Texas dan Oklahoma ke Missouri dilaporkan pada Sabtu.

Ribut itu menyebabkan hujan sehingga 18 sentimeter (sm) di beberapa tempat dalam tempoh beberapa jam dan semalam, ahli meteorologi mengeluarkan amaran mengenai bahaya berterusan cuaca melampau, termasuklah banjir kilat, hujan batu dan lebih banyak lagi puting beliung.

Lewat kelmarin, bandar Sulphur, di selatan-tengah Oklahoma, dilanda teruk bencana itu dan video serta imej yang dikongsi di media sosial menunjukkan banyak bangunan rosak.

Sebuah trak juga dilihat di atas runtuhan bangunan dan pokok manakala satu video menunjukkan, dengan batu dan kayu berselerak di merata tempat.

Pasukan penyelamat juga dikerahkan ke rumah dan kenderaan untuk mencari mangsa atau mereka yang terselamat.

Semalam, Gabenor Oklahoma Kevin Stitt, berkata bandar kecil itu terjejas teruk dan mengesahkan seramai empat orang meninggal dunia di seluruh negeri.

Dalam sidang akhbarnya, beliau berkata, seorang wanita maut apabila puting beliung melanda pada waktu malam di Sulphur dan bencana itu adalah yang paling teruk pernah dilihatnya dalam tempoh enam tahun berkhidmat.

Seorang lelaki berjalan melepasi bangunan yang rosak selepas ia dilanda puting beliung di Sulphur, Oklahoma, Amerika Syarikat (AS). – FOTO: Reuters

“Nampaknya setiap perniagaan di pusat bandar sudah musnah sekarang, Mujur tidak ramai orang di sini ketika jam 10:30 malam,” katanya,.

Stitt turut mengisytiharkan darurat selama 30 hari untuk mempercepatkan bantuan kepada 12 daerah yang paling teruk terjejas dan beliau juga sudah menghubungi pihak berkuasa persekutuan untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, media tempatan juga melaporkan, Jabatan Pengurusan Kecemasan (OEM) negeri itu berkata, sekurang-kurangnya dua orang maut di bandar Holdenville di Oklahoma, termasuk seorang bayi berusia empat bulan.

OEM berkata, mangsa keempat maut di lebuh raya di Marietta, di mana video di media tempatan menunjukkan beberapa kereta rosak di sepanjang tepi jalan, dengan dua trak separuh terbalik serta sebuah gudang rosak teruk.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata, siasatan awal mengesahkan puting beliung di Sulphur dan Marietta sekurang-kurangnya di tahap EF-3 pada Skala The Enhanced Fujita, bermakna tiupan itu melebihi 218 kilometer sejam (km/j).

Jumaat lalu, seorang lelaki di Iowa yang cedera dalam kejadian puting beliung meninggal dunia di hospital.

Laman sesawang poweroutage.us. melaporkan, lebih 25,000 rumah di Texas dan lebih 19,000 lagi di Oklahoma terputus bekalan elektrik setakat petang semalam. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini