comscore
Tumpuan :
Dunia

MUI tentang perkahwinan berlainan agama, Rizky Febian-Mahalini

Foto hiasan

JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) kembali menegaskan mengenai larangan umat Islam berkahwin dengan pasangan yang berbeza agama.

Memetik laporan Jakarta Globe, Ketua Bahagian Ajaran Islam dan Persaudaraan MUI, Muhammad Cholil Nafis dalam kenyataan terbarunya berkata, Islam melarang sekeras-kerasnya penganutnya berkahwin dengan bukan Islam.

Menerusi kenyataan yang dikongsikan di platform X, nyata Nafis menentang perkahwinan selebriti Rizky Febian, seorang Muslim, dan kekasihnya Mahalini, yang dilahirkan dalam agama Hindu, agama yang dianuti oleh majoriti penduduk asli Bali.

Majlis perkahwinan tradisional kedua-dua penyanyi itu dijadualkan berlangsung di Bali, hari ini.

“Ulama Islam mencapai kata sepakat bahawa wanita Islam dilarang berkahwin dengan lelaki bukan Islam, manakala pendapat berbeza mengenai perkahwinan lelaki Islam dengan wanita bukan Islam, ada yang menganggapnya boleh, manakala (pendapat) yang lain tidak bersetuju,” jelas Cholil.

Bagaimanapun, tanpa mengira perbezaan ini, pemimpin dan ulama daripada MUI dan dua pertubuhan Islam utama di Indonesia iaitu Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah, sebulat suara bersetuju perkahwinan (dalam kedua-dua situasi iaitu salah satu pasangan beragama Islam) tidak sesuai dengan prinsip Islam.

“MUI mengeluarkan fatwa mengisytiharkan perkahwinan antara agama sebagai haram dan tidak sah,” katanya.

Rizky dan Mahalini mendedahkan hubungan percintaan mereka secara terbuka sejak awal 2022.

Pertunangan mereka berlangsung pada 7 Mei tahun lalu dan majlis perkahwinan dijadualkan di Jakarta, Selasa ini.

Selama bertahun-tahun, aktivis hak asasi manusia dan ahli akademik mengkritik kerajaan kerana ketiadaan undang-undang mengenai perkahwinan antara agama.

Di bawah undang-undang semasa Indonesia, perkahwinan diiktiraf hanya jika dijalankan mengikut undang-undang dan ajaran agama.Ini bermakna pasangan berlainan agama tidak boleh berkahwin melainkan satu pihak memeluk agama bakal pasangan mereka.–Agensi

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini