comscore
Tumpuan :
Dunia

Pangkalan tentera Iraq dibom, AS nafi terlibat

Pengeboman disasarkan di pangkalan Calso. Foto Agensi

BAGHDAD: Pangkalan tentera di tengah Iraq yang menempatkan tentera tentera dan separa tentera pro-Iran menjadi sasaran pengeboman malam tadi, kata dua sumber keselamatan.

Letupan itu disasarkan di pangkalan Calso, yang menempatkan bekas kumpulan separa tentera pro-Iran, Hashed al-Shaabi yang kini diselaraskan ke dalam tentera tetap, menurut sumber Kementerian Dalam Negeri dan seorang pegawai tentera.

Pegawai Kementerian Dalam Negeri berkata, serangan itu mengorbankan seorang tentera dan mencederakan lapan yang lain, manakala sumber tentera melaporkan tiga tentera Iraq cedera.

Dalam satu kenyataan, Hashed al-Shaabi mengesahkan serangan itu mengakibatkan kerugian kelengkapan dan kematian tanpa menyatakan jumlah anggota yang cedera.

Setakat ini sumber itu masih tidak dapat mengenal pasti pihak bertanggungjawab terhadap serangan itu atau mengaitkannya dengan serangan dron.

Hashed al-Shaabi, pakatan kumpulan bersenjata yang ditubuhkan untuk memerangi kumpulan DAESH yang kini menjadi sebahagian daripada pasukan keselamatan Iraq.

Serangan ke atas pasukan separa tentera pro-Iran berlaku di tengah-tengah ketegangan serantau yang semakin meningkat berhubung perang antara Israel dan pejuang Palestin yang disokong Tehran.

Semalam, serangan yang dikaitkan ke atas Israel menyasarkan pangkalan tentera berhampiran Isfahan di Iran.

Dalam hantaran di media sosial, tentera Amerika Syarikat (AS) menafikan dakwaan mereka terbabit dalam serangan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini