comscore
Tumpuan :
Dunia

PBB dedah tentera Israel beri amaran pindahkan 1.1 juta rakyat Palestin ke selatan Gaza

Kepulan asap tebal susulan serangan Israel ke atas Gaza, hari ini. – Foto Reuters

GAZA/NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) awal pagi tadi mendedahkan, pihaknya dimaklumkan oleh tentera Israel bahawa kira-kira 1.1 juta rakyat Palestin di Gaza harus dipindahkan ke bahagian selatan kawasan itu dalam tempoh 24 jam akan datang.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, dalam satu kenyataan berkata, ia sekali gus memberi petunjuk keadaan berada di ambang serangan darat yang dirancang rejim Zionis.

Setakat ini, tiada reaksi daripada tentera rejim Zionis mengenai amaran itu, ketika Israel mengerahkan kereta kebalnya ke lokasi berhampiran sempadan Gaza sambil berterusan membedil dengan serangan udara.

“PBB menganggap mustahil untuk pergerakan seumpama itu berlaku tanpa akibat yang memusnahkan kemanusiaan.

“PBB merayu sungguh-sungguh agar sebarang arahan sedemikian, jika sah, dibatalkan bagi mengelakkan tragedi memang sedia ada kini berubah menjadi situasi malapetaka,” katanya.

Beliau berkata, arahan oleh tentera Israel itu turut meliputi semua kakitangan PBB dan mereka yang berlindung di kemudahan agensi antarabangsa berkenaan, termasuk sekolah, pusat kesihatan serta klinik. – REUTERS

Loading...
Terkini