comscore
Tumpuan :
Dunia

Semua laluan Malaysia-Thai di daerah Tak Bai, Sungai Golok, Weng ditutup sementara

NARATHIWAT: Semua laluan di sepanjang kawasan sempadan Malaysia-Thailand di daerah Tak Bai, Sungai Golok dan Weng ditutup sementara berikutan kejadian letupan bom dan tembakan yang mencederakan empat anggota polis.

Ketua Polis Daerah Sungai Golok Pol. Col. Jadsadavit Inprapan berkata jalan ke Sungai Golok dari daerah Tak Bai ditutup untuk pemeriksaan selepas skuad pemusnah bom menemukan paku bertaburan di jalan raya.

“Polis percaya sebahagian daripada kumpulan penyerang telah melarikan diri ke Malaysia mengikut laluan sungai manakala sebahagian lagi bersembunyi di kawasan berhampiran,” katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian hari ini.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 12.05 tengah malam, empat anggota sedang melakukan tugasan berhampiran pekan Sungai Golok cedera selepas kenderaan yang mereka naiki tiba-tiba meletup.

Katanya, siasatan awal polis juga menemukan tiga butir bom yang tidak aktif, 50 kelongsong peluru dan paku bertaburan berhampiran tempat kejadian.

Bagaimanapun, Jadsadavit berkata setakat ini masih belum ada mana-mana kumpulan yang mengakui bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Sementara itu Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian berkenaan.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini