comscore
Tumpuan :
Dunia

Thailand sambut ketibaan lebih 10 juta pelancong asing, jana perolehan 518 bilion baht

BANGKOK: Thailand menyambut ketibaan 10.72 juta pelancong asing termasuk 1.39 juta dari Malaysia yang menjana perolehan pelancongan sebanyak 518 bilion baht (RM67.18 bilion), setakat ini.

Perangkaan Kementerian Pelancongan dan Sukan menunjukkan, dari 1 Januari hingga 14 April, pelancong China merupakan kelompok lima teratas pelancong asing ke negara ini dengan lebih dua juta orang, diikuti Malaysia, Rusia (695,624), Korea Selatan (619,186) dan India (546,935).

Menteri Pelancongan dan Sukan, Sudawan Wangsuphakijkosol berkata, sejumlah 735,802 pelancong asing berkunjung je Thailand dari 8 ke 14 April, atau secara puratanya 105,115 pelawat berkunjung ke Thailand sehari.

“Angka pelancong asing dijangka terus meningkat kerana beberapa faktor termasuk penghujung Ramadan, yang ramai menjangka akan menyaksikan peningkatan pelancong dari Malaysia selain perjanjian visa-percuma dengan beberapa negara,” katanya.

Thailand menyasarkan untuk menarik 40 juta pelancong asing tahun ini, bersamaan dengan angka prapandemik yang dicatatkan pada 2019.

Ia juga mengunjurkan perolehan sebanyak tiga trilion baht daripada pelancong tempatan dan asing menjelang hujung tahun ini. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini