comscore
Tumpuan :
Dunia

Uganda lancar Bank Islam pertama  

FOTO: Salaam Bank

KAMPALA: Presiden Uganda Yoweri Museveni pada Rabu melancarkan operasi bank komersial Islam pertama di negara itu, yang beroperasi mengikut prinsip Islam dan tanpa faedah.

Presiden Museveni pada majlis pelancaran Salaam Bank di ibu negara Kampala berkata perbankan Islam berpotensi menyumbang secara ketara kepada pembangunan sektor kewangan Uganda dan menarik lebih ramai umat Islam untuk melabur dalam ekonomi negara.

Beliau berkata kerajaan tidak percaya pada diskriminasi dan semua rakyat Uganda dilayan secara sama rata tanpa mengira agama atau kumpulan etnik, sambil menambah pendekatan berkenaan telah membolehkan negara itu membangun dari segi sosial dan ekonomi.

“Saya menggalakkan anda untuk memerangi kemiskinan dan mencipta kekayaan,” katanya, lapor Agensi Anadolu.

Mengulas lanjut, Museveni memberi contoh terdapat pihak membantah rancangan penubuhan Universiti Islam Uganda pada peringkat awal namun beliau menegaskan institusi pendidikan itu perlu dibenarkan beroperasi.

“Sekarang, ia telah melahirkan ramai siswazah dalam pelbagai bidang, termasuk mereka yang bukan Muslim.

“Apabila mereka memberitahu saya mengenai perbankan Islam, saya kata saya tidak ada masalah dengannya. Saya kata kita harus biarkan mereka (institusi perbankan) beroperasi dan itulah sebabnya kita kini mempunyai Salaam Bank,” katanya.

Pada September tahun lepas, Bank of Uganda memberikan lesen perbankan Islam pertamanya kepada Salaam Bank Uganda, anak syarikat bank yang berpangkalan di Djibouti selepas parlimen meluluskan rang undang-undang yang membenarkan perbankan Islam, yang ditandatangani Museveni menjadi undang-undang.

Menurut S&P Global Ratings, industri kewangan Islam global dijangka berkembang sekitar 10 peratus pada 2023-2024. – BERNAMA-ANADOLU

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini