comscore
Tumpuan :
Jenayah

Enam tahun tertipu, pemilik kedai rugi RM3.4 juta

JOHOR BAHRU: Pemilik kedai barangan ‘hardware’ terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM3.4 juta selepas terjerat dengan skim simpanan tetap palsu.

Lelaki tempatan berusia 62 tahun itu mendakwa telah terlibat dengan skim itu sejak enam tahun lalu dan hanya menyedari tertipu pada awal tahun ini.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu semalam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini.

“Pada Januari 2018, mangsa didatangi seorang wanita warga tempatan yang mendakwa sebagai pengurus perbankan di Kuala Lumpur, menawarkan satu skim simpanan tetap dengan kadar faedah yang baik.”

“Mangsa percaya dan tertarik dengan tawaran yang diberikan, antara 3 April 2019 hingga 23 Mac 2024, mangsa telah membuat bayaran menggunakan empat ‘banker’s cheque’ dan enam cek dibayar atas nama Hong Leong Investment Assurance Bank.”

“Semua bayaran ini telah diserahkan secara tangan kepada suspek di syarikat mangsa yang keseluruhannya bernilai RM3.4 juta.”

“Mangsa memaklumkan pada tahun 2020, mangsa pernah mendapat faedah atas simpanan sebanyak RM70,000. Mangsa tidak mengesyaki apa-apa serta terus membuat penambahan simpanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Kumar, pada awal tahun ini, mangsa ingin mengeluarkan faedah lain tetapi suspek memberikan pelbagai alasan.

Katanya warga emas itu muka rasa curiga dan membuat semakan dengan pihak perbankan tersebut.

“Mangsa dimaklumkan bahawa resit pembayaran yang diberikan suspek adalah palsu dan tiada simpanan tetap atas nama mangsa dan syarikat mangsa.”

“Segala pembayaran yang dibuat mangsa kepada suspek dimasukkan ke dalam akaun individu lain,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Kumar menasihati orang ramai untuk lebih berwaspada dan sentiasa semak dengan pihak berkaitan bagi mendapatkan kepastian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini