comscore
Tumpuan :
Jenayah

PDRM rekod 7,348 kes jenayah komersil babitkan kerugian RM770 juta sejak Januari

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Sebanyak 7,348 kes jenayah komersial direkodkan Bukit Aman berlaku di seluruh negara sejak Januari hingga Ahad lalu membabitkan kerugian lebih RM 770 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah kerugian itu mencatatkan peningkatan 89 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 7,986 kes dan nilai kerugian RM407,083,651.11, kes bagi tahun ini mencatatkan penurunan sebanyak lapan peratus.

“Namun, nilai kerugian mencatatkan peningkatan cukup besar dengan 89 peratus,” katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini.

Menurutnya, peratusan pertuduhan bagi kes jenayah kormersial menunjukkan peningkatan yang baik sepanjang tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Sejumlah 3,785 kertas siasatan berjaya dituduh di mahkamah sepanjang tempoh 1 Januari hingga 24 Mac dan jumlah ini bersamaan 52 peratus dari jumlah kertas siasatan yang dibuka tahun ini.

“Peratusan pertuduhan ini juga lebih baik berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 3,463 pertuduhan atau bersamaan 43 peratus,” katanya.

Ramli berkata, seramai 4,131 individu ditahan dengan 71 peratus membabitkan lelaki yang disyaki terbabit aktiviti jenayah komersial bagi tempoh sama.

Katanya, 75 peratus daripada mereka yang ditahan berperanan sebagai pemilik akaun keldai, pekerja am (13 peratus), dalang sindiket (tujuh peratus), operator (tiga peratus) dan penyelia (satu peratus).

“Majoriti ditahan tidak mempunyai pendidikan tinggi di mana hanya satu peratus daripada mereka memiliki ijazah, dan empat peratus pemegang sijil diploma.

“Sejumlah besar iaitu 84 peratus daripada yang ditahan hanya berpendidikan sekolah menengah dan selebihnya sebanyak 11 peratus sekolah rendah sahaja,” katanya.

Menurutnya, dalam kalangan yang ditahan hanya lima peratus warga asing, dengan paling ramai membabitkan rakyat China, diikuti Indonesia, Guinea, Bangladesh, Nigeria dan lain-lain warganegara.

“Sejumlah besar ditahan berusia lingkungan 19 hingga 30 tahun yang mewakili 36 peratus, diikuti usia 31 hingga 40 tahun ( 30 peratus), 41 hingga 50 tahun (20 peratus), 51 hingga 60 tahun (lapan peratus), 60 ke atas (lima peratus) dan bawah 18 tahun (satu peratus),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini