comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Penunggang motosikal wanita cedera diragut 

Kejadian tular mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja diragut sehingga terjatuh. – FOTO: NSTP/Ihsan Pembaca

KLANG: Seorang wanita cedera dalam kejadian ragut di Persiaran Raja Muda Musa berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Zarina di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang warga tempatan berumur 20 tahun pada jam 4.34 petang hari sama.

“Siasatan mendapati, ketika kejadian kira-kira jam 8.50 pagi, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Semasa melalui lokasi kejadian, tiba-tiba suspek yang menaiki sebuah motosikal datang dari arah belakang mendekati mangsa dan menarik beg yang disilang di badan mangsa.

“Akibat situasi itu, mangsa hilang kawalan lalu terjatuh dari motosikal ke atas jalan raya serta mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 


Hoong Fong berkata, siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan luka di kedua-dua belah tapak tangan dan bahu kiri.

“Mangsa sudah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

“Siasatan lanjut mendapati, beg silang mangsa yang diragut oleh suspek mengandungi telefon bimbit jenis iPhone 14 berwarna ungu, dompet berisi dokumen peribadi serta wang tunai sebanyak RM114.

“Motosikal mangsa mengalami kerosakan calar di bahagian coverset. Jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM3,000,” katanya.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati suspek adalah seorang lelaki dewasa menunggang motosikal dipercayai jenis Yamaha Y15 warna gelap.

“Polis kini dalam usaha mengenalpasti suspek yang terbabit dalam kejadian ini dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat. Polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

“Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar hadir ke Balai Polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini