comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis dedah identiti suspek kelapan kes samun warga asing

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa (tengah) ketika sidang media di IPD Cheras, Kuala Lumpur hari ini.-Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur hari ini mendedahkan identiti suspek kelapan kes samun lelaki warga asing di sebuah residen di Jalan Tun Razak di sini, pada 7 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata suspek dikenal pasti sebagai Mohamad Ardzuan Mohd Anuar berusia 34 tahun dengan alamat terakhir di A-45-05, Kenwingston Plus PlatZ @ KL North, Jalan Gombak, Kampung Kuantan di sini.

“Identiti suspek sudah dikenal pasti dan usaha memburunya kini sedang dijalankan kerana kita percaya dia sedang bersembunyi kerana apabila kita ke alamat berkenaan, dia tiada di situ.”

“Kita nasihatkan dia untuk tampil serah diri secepat mungkin kerana sekiranya tidak, pihak polis tidak akan berhenti memburunya sehingga dia tertangkap,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, hari ini.

Katanya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek dan keberadaannya diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

Pada 9 April lalu, media melaporkan tujuh individu termasuk lima anggota polis ditahan selepas menyamun lelaki warga asing menyebabkan kerugian RM260,000 di sebuah residen di Jalan Tun Razak.

Rusdi dilaporkan berkata suspek yang ditahan termasuk seorang bekas polis dan orang awam berusia 28 hingga 41 tahun dan seorang lagi suspek yang masih bebas sedang diburu.

Dalam pada itu, katanya kertas siasatan berhubung kes ini sudah diajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan pihak polis sedang menunggu arahan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini