comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Polis siasat punca heroin 336kg lepas pemeriksaan pelabuhan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah (tiga kir) pada program Singgah Sahur bersama pegawai dan anggota MPV dan URB, Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di ibu negara, pagi tadi. -Foto: NTSP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengenal pasti bagaimana heroin yang dirampas pihak berkuasa Australia pada 13 Mac lalu, melepasi pemeriksaan di pelabuhan negara ini.

Dadah heroin seberat 336 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) itu dipercayai diseludup masuk sebelum diproses untuk pembungkusan dan diseludup keluar ke Brisbane melalui Pelabuhan Klang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata dalam kes berkenaan Malaysia sememangnya dijadikan transit atau hab oleh sindiket atau kartel dadah bagi tujuan pembungkusan sebelum diseludup ke negara ketiga.

“Perkara itu yang kita (PDRM) sedang lihat di mana berlakunya kepincangan dan kelemahan penguatkuasaan kita sehingga kita gagal mengesan kejadian ini daripada berlaku.

“Ini juga bererti perjuangan kita dalam membanteras penyeludupan dadah di negara ini masih lagi jauh dan ada banyak lagi yang perlu dipertingkatkan,” katanya pada program Singgah Sahur bersama pegawai dan anggota MPV dan URB, Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pagi tadi.

Acryl berkata sebagai seorang Ketua Polis Negara, apa yang amat dikesali adalah bagaimana adanya kelemahan di peringkat penguatkuasaan yang gagal mengesan kemasukan dan keberadaan dadah berkenaan di negara ini.

“Apa yang terkesan bagi kita adalah macam mana kita (pihak berkuasa) boleh terlepas consignment (barang kiriman) yang agak banyak ini sehingga boleh dikesan di negara ketiga. Ini yang kita harus lihat semula iaitu sistem jaringan perkongsian maklumat dan perisikan negara kita.

“Kita tidak mahu lagi perkara seperti ini berulang lagi pada masa hadapan,” katanya.

Siasatan secara menyeluruh sedang dilaksanakan terhadap pihak berkuasa yang bertanggungjawab atas kejadian penyeludupan dadah berkenaan.

Secara tepat, badan penguatkuasaan yang harus dipertanggungjawabkan dalam kejadian ini adalah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mempunyai kuasa sepenuhnya mengawasi setiap kemasukan dan pengeluaran kontena di pelabuhan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan bahawa kejadian berkenaan adalah sesuatu perkara yang amat mengaibkan negara.

Loading...
Terkini