comscore
Tumpuan :
Jenayah

Seleweng diesel guna nombor plat palsu 

SHAH ALAM: Sindiket penyelewengan diesel dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu pada kenderaan ketika beroperasi bagi mengaburi pihak berkuasa.

Taktik itu dikenal pasti susulan serbuan ke atas sebuah premis yang dijadikan stor haram menyimpan dan memindahkan diesel di Jalan Johan Setia di Klang menerusi Ops Tiris 3.0 kira-kira jam 3 petang pada Selasa lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pemeriksaan ke atas premis terbabit menemukan 9,000 liter diesel berserta peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan bahan api itu.

“Sebuah lori, beberapa tangki mengandungi diesel, motor pam dan beberapa dokumen berkaitan serta peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan turut disita untuk siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM88,300 dan dua lelaki tempatan berusia 67 dan 48 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya memaklumkan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Azman berkata siasatan kini dijalankan untuk mengenal pasti individu atau syarikat yang terbabit aktiviti itu, selain rantaian pengedaran diesel termasuk sumber bahan api berkenaan diperoleh dan ke mana ia diedarkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini