comscore
Tumpuan :
Jenayah

Selisih faham, lelaki maut dipukul rakan

Seorang lelaki maut dipercayai selepas dipukul oleh rakannya sendiri ekoran satu perselisihan faham di hadapan sebuah restoran di Taman Scientex, Pasir Gudang kelmarin. Tangkap layar foto tular.

PASIR GUDANG: Akibat perselisihan faham seorang lelaki maut dipukul oleh rakannya sendiri di hadapan sebuah restoran di Taman Scientex, di sini, petang kelmarin.

Suspek telah ditangkap.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang Ahad itu, mangsa 33, dipercayai bertengkar dengan sahabatnya, 29, mengenai perselisihan peribadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Sohaimi Ishak berkata pertengkaran itu dipercayai menjadi bertambah hangat apabila kedua-duanya turut berbalas kata-kata kesat.

“Pertengkaran yang pada mulanya hanya membabitkan kata-kata bertukar ganas apabila rakan mangsa tiba-tiba memukul mangsa dipercayai menggunakan topi keledar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Sohaimi, sebaik dipukul, mangsa hilang imbangan dan pengsan di hadapan restoran berkenaan.

Pihak berkuasa yang tiba susulan aduan orang awam mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut kenyataan itu lagi, polis masih menyiasat senjata sebenar yang digunakan bagi memukul mangsa serta keputusan analisis bedah siasat.

Suspek ditahan di rumah sewanya tidak jauh dari lokasi kejadian, direman tujuh hari bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Siasatan awal mendapati suspek mempunyai enam rekod kesalahan membabitkan dadah dan jenayah.

Loading...
Terkini