comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket dadah antarabangsa tumpas, syabu RM2.7 juta dirampas

JOHOR BAHRU: Polis menumpaskan satu rangkaian pengedaran dadah antarabangsa susulan tertangkapnya lapan lelaki dalam lima serbuan berasingan termasuk di Johor, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata antara yang ditangkap termasuk dalang sindiket itu dan kesemua mereka adalah warga tempatan.

Sejumlah 82.86 kilogram syabu dianggarkan bernilai lebih RM2.7 juta dirampas.

Katanya, semua suspek umur 23 hingga 40 tahun itu diberkas antara jam 6.30 petang Rabu lalu hingga 7 pagi keesokkan harinya.

“Modus operandi kumpulan ini adalah menjadikan rumah sebagai transit dan stor penyimpanan sebelum diseludup ke negara jiran melalui jalan laut dengan menggunakan khidmat tekong laut,” kata Kumar dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, petang tadi.

Ujarnya, selain syabu yang dibungkus dalam 80 bungkusan plastik, turut dirampas pil ektasi dan ketamine dianggarkan bernilai hampir RM530.

Siasatan awal mendapati sindiket itu mula bergiat aktif sejak Jun tahun lalu.

Susulan tangkapan itu, polis turut menyita lapan buah kereta, 12 buah motosikal, barang kemas, wang tunai dan pelbagai jenama jam tangan bernilai lebih RM1.7 juta.

Semua suspek direman sehingga Rabu depan, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Loading...
Terkini