comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Suami maut, isteri cedera kemalangan 4 buah kenderaan

TAPAH: Seorang pemandu kereta maut manakala isterinya cedera selepas kenderaan yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 358.7 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, petang tadi.

Dalam kejadian terbabit, pemandu yang berumur 70 tahun itu disahkan maut di tempat kejadian dan isterinya berumur 59 tahun pula cedera di bahagian kepala telah dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Sri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihak polis menerima laporan kejadian kemalangan yang membabitkan empat buah kenderaan jam 5.25 petang tadi.

Katanya, siasatan awal pihak polis mendapati terdapat sebuah kenderaan pacuan empat roda milik PLUS Ronda telah berhenti di lorong kecemasan untuk memberi bantuan kepada sebuah kereta jenis Suzuki Swift yang mengalami masalah tayar pancit.

“Tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Mazda CX-5 dari arah Kuala Lumpur ke Ipoh yang dipandu mangsa telah melanggar belakang kenderaan pacuan empat roda milik PLUS terbabit.

” Akibat pelangggaran terbabit, kenderaan pacuan empat roda pula telah melanggar belakang kereta Suzuki Swift, manakala kereta Mazda CX-5 terbabas ke kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Yusri berkata kereta Mazda CX-5 yang terbabas itu kemudian dilanggar pula dari belakang oleh sebuah kereta jenis KIA Optima.

“Pemandu kereta Mazda CX-5, seorang lelaki berumur 70 tahun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya yang berumur 59 tahun cedera di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan.

“Manakala, pemandu dan penumpang kenderaan lain tidak mengalami kecederaan dan mangsa yang meninggal dunia telah dihantar ke Hospital Tapah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata kes diklafikasikan di bawah Seksyen 41( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian kemalangan maut terbabit diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Tapah, Inspektor Ruzainal Aman Ruslan di talian 012-4500968.

Loading...
Terkini