comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bapa enam anak mengaku rogol, cabul anak kandung

Tertuduh ketika tiba di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat – FOTO: NSTP

IPOH: Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan merogol dan mencabul kehormatan anak perempuannya yang berusia 19 tahun, bulan lalu.

Tertuduh berusia 38 tahun yang merupakan bapa kepada enam anak membuat pengakuan salah itu, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani dalam prosiding hari ini.

Mengikut kertas pendakwaan, lelaki itu didakwa merogol anak kandungnya, di mana perhubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat dan kebiasaan yang terpakai untuk berkahwin, dengan perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Seri Rahmat, Batu Gajah antara jam 10 hingga 12 malam, Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara minimum 8 tahun dan maksimum 30 tahun serta tidak lebih daripada 10 sebatan.

Tertuduh dalam pada itu turut didakwa dengan pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan anak perempuannya itu di lokasi sama, pada jam 8.30 pagi, 20 Mac lalu.

Pendakwaan bagi jenayah kekerasan dengan niat mencabul itu dibaca mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh lain pada 17 April depan untuk hukuman dan fakta kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini