comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bomoh dipenjara 35 tahun, lakukan amang seksual, rogol remaja hingga hamil

MUAR: “Apa perasaan kamu jika benda ini berlaku ke atas anak perempuan kamu?” itu kata Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat sebelum menjatuhkan hukuman 35 tahun penjara dan 10 sebatan ke atas seorang bomoh selepas mengaku bersalah, di sini hari ini.

Tertuduh Zemi Ibrahim, 51, didakwa melakukan amang seksual dan juga merogol seorang remaja perempuan dalam tandas rumah mangsa di Pagoh, sejak 2022 ketika mangsa ingin mendapat rawatan membuang sihir.

“Kasihan mangsa. Dia nak berubat untuk penyakit dihadapinya, tapi kamu (tertuduh) buat seperti itu (cabul dan rogol).

“Kalau di dunia kita boleh terlepas, tapi tidak di akhirat, ” kata Abu Bakar.

Kesalahan dilakukan tertuduh yang juga tukang rumah serta jurulatih Muay Thai itu menyebabkan mangsa hamil 14 minggu.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa yang berusia 14 tahun ketika itu dalam tandas sebuah rumah di Pagoh, dekat sini, pada November 2022.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34 akta sama.

Hukuman bagi seksyen ini adalah penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, dia didakwa merogol mangsa sejak April hingga Julai tahun lalu, dengan kejadian berlaku di tempat sama.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, bagi setiap pertuduhan.

Berdasarkan fakta kes, keluarga mangsa mengenali tertuduh melalui bapa saudaranya yang dikatakan mampu merawat sihir.

Tertuduh kemudian bertandang ke rumah mangsa dan meminta merawatnya serta arwah bapanya yang turut terkena sihir.

Ketika itu, mangsa diarahkan memasuki bilik air yang terletak di luar rumah dengan tujuan untuk mandi air jampi yang mengandungi bunga, limau purut dan sebagainya.

Bagaimanapun, ketika merawat, tertuduh mengambil kesempatan melakukan amang seksual sebelum merogolnya, dengan perbuatan itu berlarutan sehingga Julai tahun lalu.

Mangsa mengetahui dia dirogol selepas mendengar sesi ceramah jenayah seksual di sekolah pada September tahun lalu, sebelum membuat laporan kejadian pada 27 Oktober.

Pada masa sama, tertuduh disahkan hamil selepas tidak datang bulan sejak Ogos 2023. Malah, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas kandungan mangsa berpadanan sampel diambil daripada tertuduh.

Tertuduh sebelum ini berhadapan empat pertuduhan amang seksual seorang remaja berusia 16 tahun namun tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi perrtuduhan pertama manakala pertuduhan kedua hingga keempat, masing-masing 10 tahun serta tiga sebatan.

Pada masa sama, mahkamah memutuskan semua hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan, 16 Oktober 2023.

Selain itu, tertuduh diarahkan menjalani sesi kaunseling sepanjang menjalani hukuman serta pengawasan polis selama dua tahun, selari dengan Seksyen 26 dan 27 AKKSTKK.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini