comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Chef mengaku tidak bersalah cederakan ‘pakcik jaga’

Tertuduh, S Herman Rivae didakwa sengaja mencederakan pengawal keselamatan. FOTO: NSTP

AYER KEROH: Seorang chef dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap seorang pengawal keselamatan sebuah pangsapuri di bandar raya Melaka minggu lalu.

S Herman Rivae, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas S Vethanayagam Joseph, 68, di kawasan letak kenderaan Pangsapuri Laksamana Cheng Ho 2, bandar raya Melaka pada 29 April lalu, kira-kira jam 8 pagi.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Mengikut siasatan polis, kejadian berpunca apabila pengadu menegur tindakan tertuduh memasuki kawasan pangsapuri berkenaan dengan kenderaan menggunakan laluan yang salah hingga berlaku pergaduhan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar menawarkan jaminan RM10,000 berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa yang tinggal di kawasan perumahan sama.

Peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek bagaimanapun merayu jaminan yang rendah kerana anak guamnya hanya bekerja sebagai chef dengan pendapatan bulanan kira-kira RM1,300.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan.

7 Jun depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini