BANTING: Dua pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, dua minggu lalu.
Tertuduh, Ishardy Shamudin, 41 dan Muhammad Yazzid Mohd Yusoff, 31, dituduh membunuh M Saravana Kumar, 24, di tepi Jalan Haji Wahab, Kampung Olak Lempit, di sini, di antara jam 10 malam dan 11 malam, pada 11 Januari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ermadieyani Ismadi, manakala Ishardy, diwakili peguam, Nik Muhammer Hurrie Muhamad Sukri dan peguam, R Sritheran mewakili Muhammad Yazzid.
Majistret Khairul Farhi Yusob kemudian menetapkan 27 Februari ini untuk sebutan semula kes.
Media pada 19 Januari lalu melaporkan polis menahan dua pengawal keselamatan, yang dipercayai memukul seorang lelaki dalam pergaduhan berhampiran sebuah kedai runcit di Olak Lempit, dekat sini.
Lelaki berkenaan dilaporkan meninggal dunia selepas lima hari dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang. -BERITA HARIAN