comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Ibu tahu, biar anak bawah umur miliki 80 pil syabu

Seorang budak lelaki yang berdepan tuduhan memiliki 80 pil methamphetamine di Kampung Gual Pasong Hantu, Rantau Panjang, Kelantan tahun lalu. – Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ibu mengetahui, namun masih membiarkan anaknya terbabit dengan najis dadah.

Itu antara latar belakang kes kanak-kanak lelaki yang berdepan tuduhan memiliki 80 pil methamphetamine di Kelantan, tahun lalu.

Mahkamah Majistret Pasir Mas, memerintahkan kanak-kanak itu dihantar ke Sekolah Tunas Bakti selama tiga tahun selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.

Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani berkata, budak lelaki itu masih boleh dibentuk akhlaknya jika diberi bimbingan dan tunjuk ajar.

Katanya, pencegahan kes dadah membabitkan pesalah kanak-kanak akan dicapai dengan perintah ke sekolah yang diluluskan dan diberikan mahkamah,” katanya dalam alasan penghakiman bertarikh 21 April lalu yang dimuat naik menerusi sistem pengurusan e-Kehakiman.

“Terang lagi bersuluh bahawa keadaan persekitaran pesalah kanak-kanak itu tidak kondusif untuk berubah menjadi lebih baik.

“Bimbingan diperlukan tidak dapat diberi ibu yang hanya membiarkan pesalah berbuat sesuka hatinya sehingga sanggup membiarkan budak itu jual beli dadah dalam rumah sendiri.

“Mengikut laporan akhlak, ibu cuba untuk melindungi perbuatan anaknya itu. Jika dikembalikan kepada keluarga dan persekitaran sedia ada, tiada jaminan kanak-kanak itu tidak kembali terbabit dadah.

Mengikut pertuduhan, kanak-kanak itu didakwa memiliki pil terbabit di Kampung Gual Pasong Hantu, Rantau Panjang dekat Pasir Mas, Kelantan, jam 4.10 pagi pada 3 Oktober 2023.

Pendakwaan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama.

Mohd Izdham Naim berkata, pesalah terbabit memerlukan panduan dan bimbingan bagi mengubah dirinya menjadi lebih baik dan perintah ke sekolah berkenaan adalah bersesuaian bagi tujuan itu.

“Justeru, kehendak kepentingan awam dapat dipenuhi dengan membantu budak itu menjadi warganegara yang baik.

“Kes membabitkan pemilikan dan penyalahgunaan dadah adalah kesalahan serius, selain pengakuan bersalah bukan justifikasi untuk memberi hukuman atau perintah yang ringan.

“Apatah lagi kanak-kanak itu memiliki pil mengandungi methamphetamine dalam kuantiti yang sangat banyak apabila mengambil kira usia pesalah yang masih muda,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini