comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lima lelaki dilepas, dibebas tuduhan bunuh warga emas di Sabak Bernam

Foto: NSTP

SHAH ALAM: Lima lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita warga emas dan mencederakan cucunya di Sabak Bernam, lima tahun lalu.

Hakim Nurul Nurulhuda Nur’Aini Mohamad Nor memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Katanya, keputusan itu diperoleh selepas mahkamah meneliti nota keterangan, hujahan kedua-dua pihak dan membandingkan kes pendakwaan.

“Dalam kes ini, isu utama adalah berkaitan identiti. Pihak pembelaan mengemukakan notis alibi dan saksi mereka.

“Selepas mengambil kira kes kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dan melepaskan serta membebaskan semua tertuduh,” katanya.

Sebaik keputusan itu dimaklumkan hakim, semua tertuduh iaitu A Sri Mahavishnu, 42; S Kannadasan; E Venthaan; T Devaraju dan K Vikkines Varan yang masing-masing berusia 33 tahun dilhat menangis dan berpelukan kegembiraan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh P Runkanaikey, 78, di sebuah rumah di Kampung Tebuk Pulai, Sabak Bernam antara jam 3.30 pagi hingga 4.30 pagi, 12 Ogos 2019.

Selain itu, semua tertuduh didakwa mencederakan N Silamparasan, 27, dengan cara menetak di tangan, bahu dan kaki pada tarikh dan lokasi sama.

Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan Seksyen 324 kanun sama yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Heikal Ismail manakala tertuduh masing-masing diwakili peguam Zaleha Al-Hayat, GS Gabriel dan Dinesh Muthal.

Seramai 14 saksi pendakwaan dan 12 saksi pembelaan dipanggil sepanjang tempoh perbicaraan kes sejak 15 November 2021.

Mohammed Heikal ketika ditemui di luar mahkamah mengesahkan pendakwaan akan membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi, pada Isnin ini.

Sementara itu, anak perempuan mangsa berusia 57 tahun berkata dia tidak menyangka keputusan mahkamah membebaskan semua tertuduh yang membunuh ibunya.

“Saya mengikuti kes ini daripada awal dan berharap akan ada keputusan yang munasabah tapi saya sedih kelima-lima mereka dibebaskan.

“Di mana keadilan, pembunuh ini dibebaskan dan apa akan jadi dengan orang lain? Mungkin mereka akan jadi lebih berani untuk bunuh orang lain,” katanya kepada Berita Harian.

Menurutnya, ibunya sudah tua dan ditetak serta dibunuh dalam keadaan ngeri, sebagai anak pastinya dia mahukan keadilan.

“Sekarang mereka semua sudah bebas, saya takut keselamatan keluarga kami. Mungkin mereka boleh mengancam keselamatan kami selepas ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan siasatan awal polis mendapati cucu mangsa yang juga penjual kelapa menyedari kehadiran seseorang di hadapan rumah didiami bersama neneknya itu.

Sebelum sempat mengejutkan neneknya, suspek sudah memecah masuk menerusi pintu hadapan dan menetak wanita itu sehingga mati.

Sewaktu mahu menyelamatkan diri, dia turut ditetak sehingga parah selain dompet, rantai emas, wang tunai dan sebuah kenderaan turut dilarikan suspek.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini