comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pembantu kedai didakwa ugut, perdaya wanita dan miliki gambar lucah

Foto hiasan

 

KUANTAN: Seorang pembantu jualan kedai komputer didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan ugutan jenayah, memperdayakan wanita dan memiliki gambar lucah.

Loh Yin Teng, 29, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat dan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Dia didakwa memperdayakan seorang wanita dalam urusan mendapatkan telefon bimbit sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM2,280 dengan 12 transaksi melibatkan lapan akaun berbeza.

Lelaki itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan di sebuah lot kedai Jalan Haji Ahmad di sini antara 8.19 pagi hingga 10.02 malam pada 8 hingga 13 April lepas mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Loh juga didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa sama untuk membawa “Ah Long” dengan niat menyebabkan ketakutan bagi mendapatkan wang di Lorong Damai 6, Taman Sungai Karang pada jam 2.41 petang, 14 Februari lepas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Loh didakwa memiliki sekeping imej lucah mangsa sama dalam telefon bimbitnya mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan kira-kira jam 12.15 tengah malam pada 15 April lepas.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa memperdayakan seorang lagi wanita sehingga mendorongnya menyerahkan wang RM1,435 di Jalan Haji Ahmad Kuantan antara jam 1.17 pagi hingga jam 7.41 petang 7 Januari 2023.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aini Adilah Muhammad Faizal dan Izuain Farhana Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Syafiqa Syeba, Mohamed Azhari Matiasin dan Mohd Azlan Mohd Arish @ Arshad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 13 Mei untuk sebutan semula kes.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini