comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Penjara 6 bulan akibat simpan 19,011 video, gambar lucah dalam pendrive

 

TELUK INTAN: Seorang pembantu kedai ubat tradisional dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana menyimpan 19,011 video dan gambar lucah kanak-kanak dalam pendrive miliknya.

Majistret T Ashvinii menjatuhkan hukuman itu terhadap Liew Ming Hui, 24, selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mempunyai dalam milikannya suatu bahan pornografi kanak-kanak iaitu satu unit kad memori (pendrive) mengandungi video dan gambar kanak-kanak di rumah bernombor 19 Atas, Lorong 1, Jalan Besar, Rancangan Perumahan Awam (RPA) 2 Langkap, jam 4.20 petang, pada 29 Mei tahun lalu.

Ming Hui, 24, mengaku bersalah menyimpan 19,011 video dan gambar pornografi kanak-kanak dalam pendrive miliknya di Mahkamah Majistret Teluk Intan, di sini, hari ini. – Foto: NSTP

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada 29 Mei lalu, polis merampas barang kes iaitu seunit komputer riba jenama Acer, seunit adapter komputer riba jenama Liteon dan seunit pendrive jenama Kingston Datatraveler 100 G3-64GB.

Hasil pemeriksaan dan siasatan dilakukan polis mendapati, terdapat 19,011 dokumen membabitkan video dan gambar pornografi kanak-kanak di dalam pendrive milik tertuduh.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan, manakala tertuduh diwakili peguam Jude Pereira.

Terdahulu, Pereira merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan berbentuk denda dengan alasan tertuduh anak tunggal yang membantu perniagaan kedai ubat tradisional milik bapanya dan sudah insaf, selain adalah kesalahan pertama tertuduh.

Bagaimanapun, Izzudin Fakri memohon mahkamah mengenakan hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,500 terhadap tertuduh, jika gagal membayar denda tambahan lima bulan penjara. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Pereira memohon penggantungan pelaksanaan hukuman sementara rayuan, namun mahkamah tidak membenarkan dan menetapkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula disabitkan bersalah hari ini.

Terdahulu, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selepas majistret berpuas hati dengan hujahan balas Izzudin Fakri terhadap rayuan Pereira.

Loading...
Terkini