comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Rempuh 11 kenderaan: Pemandu bas direman 4 hari 

Pemandu bas dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas direman hari bermula hari ini. – FOTO: NSTP

BATU PAHAT: Pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan dengan 11 buah kenderaan di Jalan Tan Swee How, Jalan Kluang, semalam direman empat hari di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Perintah reman ke atas pemandu berusia 51 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Suhaila Shafi’uddin bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, pemandu bas terbabit tiba di mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi diiringi polis sebelum proses permohonan reman terhadapnya dikeluarkan.

Dia yang memakai baju T kelabu kelihatan tenang sebaik dibawa keluar dari mahkamah jam 9.40 pagi.

Dalam kemalangan jam 10.20 pagi itu, bas dipandu suspek membawa lapan pelajar Kolej Vokasional Batu Pahat merempuh 11 buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas milik kolej terbabit berusia 26 tahun, mengalami masalah brek sebelum meluncur dan merempuh kenderaan menunggu di persimpangan lampu isyarat.

Akibatnya, beberapa kenderaan termasuk kereta mewah mengalami kerosakan teruk selain dua pemandu cedera akibat tersepit.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, suspek ditahan semalam sejurus selepas kemalangan bagi membantu siasatan.

Katanya, penahanan suspek bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan berhubung punca sebenar kemalangan berlaku.

“Selain bas dipandu suspek, 11 kenderaan terbabit dalam kemalangan itu antaranya dua buah lori dan sembilan kenderaan lain termasuk kereta.

“Maklumat awal diterima mendapati bas dalam perjalanan dari bandar Batu Pahat menghala ke Jalan Kluang, hilang kawalan dipercayai kegagalan brek.

“Orang ramai mempunyai maklumat diminta tampil ke mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini