comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Samun keluarga tengah bersahur, pemandu bas dipenjara 5 tahun 

MUAR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap pemandu bas menyamar sebagai anggota polis sebelum menyamun satu keluarga yang sedang bersahur dan melarikan tiga bentuk cincin emas.

Nik Khairoul Kasim, 39, yang turut menjual semua cincin terbabit di sebuah kedai pajak gadai, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa memiliki tiga bentuk cincin milik dua individu selepas memecah masuk sebuah rumah di Jalan Dusun Damai, Pagoh, jam 4 pagi, 7 April lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan ini, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh dikenakan denda.

Berdasarkan fakta kes, mangsa bersama-sama ahli keluarga dan rakan baru sahaja selesai bersahur di rumahnya sebelum dimasuki dua individu tidak dikenali.

Tertuduh bersama seorang lagi menyamar sebagai polis kemudian bertindak menyamun mangsa dengan mengambil barang peribadi seperti telefon bimbit, wang tunai dan juga barang kemas.

Sejurus selepas itu, tertuduh melarikan diri dan mangsa membuat laporan di Pagoh, pada hari kejadian.

Pada 19 April lalu, jam 12.04 malam, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, berjaya menahan tertuduh.

Siasatan polis mendapati, tertuduh mengaku memilik tiga bentuk cincin yang digadaikan dengan nilai lebih RM3,000.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan juga denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan berkuatkuasa dari tarikh ditahan, 19 April lalu.

Pada masa sama, mahkamah juga mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini