comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Simpan bahagian badan pelanduk tanpa lesen, 8 anggota FRU didakwa


SEREMBAN: Lapan anggota polis dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menyimpan bahagian badan pelanduk tanpa lesen, kira-kira tiga tahun lalu.

Tertuduh Rusli Che Omar, 42; Jafri Md Taib, 49; Mohamed Khalid Ibrahim, 50; Azaruddin Yahaya, 40; Mohd Izammudin Zainol, 38; Mohd Yusof Mohamed Yunos, 39; Mahadir Osman, 41 dan Jasius Joseph, 36 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mazni Nawi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama telah didapati menyimpan tanpa lesen lapan bahagian Pelanduk (Tragulus javanicus) iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] di dalam sebuah tong Coleman yang diletakkan di bahagian belakang sebuah kenderaan jenis Land Rover.

Petugas PERHILITAN (berseragam hijau tua) mengawasi sebahagian anggota FRU yang berdepan tuduhan menyimpan bahagian badan pelanduk di Mahkamah Sesyen pagi ini.

Perbuatan itu dilakukan di tepi jalan dekat Kampung Talang, Empangan Talang, Kuala Pilah, kira-kira jam 1 tengah hari 17 Januari 2021.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 60(1)(b), Akta 716 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 60(1) Akta 716.

Sekiranya disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Amanina Mohamad Anuar, menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh.

Peguam, Hanif Hassan, mewakili Jafri, manakala tertuduh lain tidak diwakili merayu wang jaminan sebanyak RM2,000 kerana masing-masing mempunyai tanggungan.

Selepas mempertimbangkan kesalahan dan rayuan, mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 seorang dan sebutan semula bagi serahan dokumen pada 12 Jun depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini