comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tergamak cabul cucu saudara..

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku bersalah cabul cucu saudara. – FOTO: NSTP

MUAR: Pekerja ladang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, terhadap dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu saudara di Segamat pada tahun lalu dan awal bulan ini.

Tertuduh, 42, mengaku bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa berusia 16 tahun di rumah neneknya dalam Segamat pada jam 1 pagi, Januari tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengulangi perkara sama terhadap mangsa ketika mengajar remaja itu menunggang motosikal di Bekok, Segamat pada 8 malam, 7 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14, yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Susulan pengakuan bersalah tertuduh, mahkamah menetapkan 8 Mei ini untuk fakta kes serta hukuman.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini