comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tiga lelaki dibebaskan daripada pertuduhan edar syabu

Muhammad Abdul Rahman,Mohd Fadzli Abd Razak dan Yusri Awang bersalaman dengan peguam di Mahkamah Tinggi Melaka selepas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah.-Foto: NSTP

MELAKA: Tiga rakan dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Tinggi Melaka, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis methampetamine seberat 162.35 gram tiga tahun lalu.

Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas meneliti keterangan enam saksi pendakwaan serta hujah kedua-dua pihak, pendakwaaan dan pembelaan.

Beliau antara lain berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh, Muhammad Abdul Rahman,37, Mohd Fadzli Abd Razak,44, dan Yusri Awang, 38, berkaitan elemen pemilikan terhadap dadah dirampas, niat bersama dan anggapan pengedaran dadah.

Pendakwaan katanya, menghujahkan elemen pemilikan dadah dibuktikan kerana kereta Proton Wira tempat dadah ditemui adalah milik tertuduh ketiga, Yusri, manakala tertuduh pertama serta kedua ditangkap di hadapan kenderaan itu dalam posisi seperti mengawasinya.

Versi pembelaan pula menghujahkan faktor kedekatan (proximity) sahaja tidak mencukupi untuk membuktikan tertuduh pertama dan kedua mempunyai kawalan, pemilikan dan pengetahuan ke atas 18 peket lutsinar dadah methampetamine yang ditemui dalam dua sampul surat pada laci papan pemuka kereta itu.

Mohd Radzi berkata, pembelaan juga berhujah bahawa tertuduh pertama dan kedua tidak tahu dadah itu kerana ia berada dalam laci dan tidak terdedah selain kesan asid deoksiribonukleik (DNA), cap jari dan barang peribadi mereka juga tiada di dalam kereta itu.

Katanya, bagi tertuduh ketiga pula, milikan dan niat bersama tidak dibuktikan berdasarkan pertimbangan dia ditangkap ketika berjalan ke kereta dan keterangan saksi pendakwaan keenam (SP-6) iaitu pegawai penyiasat yang bersetuju dengan pembelaan bahawa tertuduh kedua ada menggunakan kereta berkenaan.

Mohd Radzi berkata, mahkamah tidak bersetuju dengan pendakwaan bahawa tertuduh pertama dan kedua sepertimengawal kereta kerana tidak disokong keterangan lain.

Katanya, keterangan SP-6 adalah lemah kerana menunjukkan dia langsung tidak menyiasat secara menyeluruh termasuk kemungkinan kereta itu pernah diakses oleh orang lain dan ia memprejudiskan tertuduh ketiga.

“Menjadi prinsip undang-undang yang jelas bahawa tugas pegawai penyiasat bukan saja untuk menyokong pendakwaan tetapi juga menyiasat kemungkinan versi tertuduh adalah benar,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Muhammad, Mohd Fadzli dan Yusri didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya methampetamine seberat 162.35 gram di tempat letak kereta hadapan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Bukit Katil, dalam daerah Melaka Tengah, pada 1 Februari 2021, kira-kira jam 1.55 tengah hari.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersekali dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika disabitkan membawa hukuman mati.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini