comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Ugut sebar gambar bogel remaja perempuan, pelajar kulinari didenda RM2,500

MELAKA: Seorang pelajar kulinari didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, selepas mengku bersalah melakukan pemerasan terhadap seorang remaja perempuan bawah umur dengan mengugut untuk menyebarkan gambar bogelnya, dua minggu lalu.

Hukuman itu diputuskan Majistret Nabilah Nizam terhadap tertuduh, Chan Yu Jian,20.

Nabilah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Chan dituduh sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada seorang perempuan berusia 15 tahun bahawa satu bencana iaitu gambar bogelnya akan disebarkan hingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM1,500 kepada tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di sebuah rumah beralamat di Jalan Kenangan 3/8, Rumah Pangsa Seksyen 3, dekat sini, pada 14 Mac lalu, kira-kira jam 7.03 pagi.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara boleh sampai sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa berkenalan dengan tertuduh pada Januari 2023 melalui Instagram, namun tidak pernah melihat wajahnya.

Pada 14 Mac lalu mangsa yang ketakutan selepas diugut tertuduh untuk menyerahkan sejumlah wang jika tidak mahu gambar bogelnya disebarkan, bertindak mencuri wang ibunya dan dibayar kepada tertuduh dengan menggunakan khidmat pemandu e-hailing.

Terdahulu, tertuduh merayu tidak dipenjarakan kerana masih belajar dan mahu menjaga ibu bapanya yang sudah berusia.

“Saya mohon denda yang ringan kerana mahu jaga ‘papa’ dan ‘mama’. Kalau boleh saya tak mahu hukuman penjara kerana masih belajar masakan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini