comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Warden tahfiz mengaku tidak bersalah tumbuk, pijak perut pelajar

Muhammad Farhan didakwa atas lima pertuduhan termasuk dera empat pelajarnya. -FOTO: NSTP

MELAKA: Seorang warden sebuah pusat tahfiz didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan memijak, menumbuk, menampar dan memukul empat pelajarnya sehingga cedera sejak Februari lalu.

Tertuduh, Muhammad Farhan Abdul Rashif, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd Sabri Ismail.

Mengikut dua pertuduhan di hadapan Darmafikri, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas Nur Muhammad Ridhwan Zainuddin berusia 14 tahun 11 bulan dan Adam Danish Mohd Noor, 14 tahun empat bulan, didakwa mendedahkan mereka kepada bahaya.

Adam Danish ditampar serta ditumbuk pada bahagian pipi, ditendang pada perut dan dipijak pada dada, manakala Nur Muhammad Ridhwan mengalami kecederaan fizikal di bahagian kaki kanan.

Perbuatan itu dilakukan pada 7 dan 8 Mei lalu, jam 4.47 petang dan 7.35 malam di sebuah rumah guru Tahfiz Al-Islah, Jalan Sungai Air Hitam, Kampung Baru, Bertam Malim.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama 31(2) akta sama, jika disabitkan boleh didenda maksimum RM50,000 atau dihukum penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Di hadapan Mohd Sabri, tertuduh berdepan tiga lagi pertuduhan mengikut seksyen sama membabitkan dua pelajarnya, Muhammad Riezman Musa dan Muhammad Muqri Mohamad Hussin yang ketika kejadian berusia 15 tahun.

Tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan didakwa mendedahkan mangsa kepada bahaya iaitu dengan cara menampar pipi Muhammad Muqri dan merotan di badan sebelah kiri dengan rotan buluh, manakala Muhammad Riezman dipijak di perut.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari dan Muhammad Nazrin Ali Rahim membantah jaminan atas faktor keselamatan mangsa selain dikhuatiri tertuduh yang juga warga Singapura akan melarikan diri.

Peguam Faathir Imran Firdaus bagaimanapun merayu jaminan dibenarkan dengan alasan tiada kemungkinan kacau ganggu oleh tertuduh terhadap mangsa dan saksi kerana pusat tahfiz itu sudah pun ditutup dan semua pelajar sudah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

Sementara itu di Mahkamah Majistret 1, tertuduh turut minta dibicarakan atas pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1969/65 (Akta 155) (Pindaan 2002 iaitu kesalahan tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas lawatan.

Kesalahan itu dilakukan pada 16 Mei lalu, kira-kira 1.40 petang di Pejabat D11, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, jika disabitkan boleh didenda minimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan di hadapan Majistret Nurul Asyikin Rosli dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin yang turut membantah jaminan dan dibenarkan mahkamah.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan kes untuk sebutan pada 26 Jun depan.

Loading...
Terkini