comscore
Tumpuan :
Nasional

11 individu dikompaun, ditahan ingkar PKPP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dan mengeluarkan kompaun terhadap 11 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebanyak 2,876 pasukan pematuhan membabitkan 13,545 anggota telah membuat pemantauan di 3,804 pasar raya, 5,913 restoran serta 1,316 penjaja, 1,247 kilang, 3,767 bank dan 860 pejabat kerajaan.

“Turut dipantau 1,184 terminal pengangkutan darat, 267 terminal pengangkutan air dan 122 terminal pengangkutan udara.

“PDRM sudah membuat 66 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 39,407 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong tikus.

“Daripada sekatan yang dilaksanakan, PDRM menahan 10 PATI kerana kesalahan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mendapati 46 tapak pembinaan patuh SOP ditetapkan, enam tapak pembinaan tidak patuh dan diberi nasihat, manakala enam lagi tapak pembinaan tidak beroperasi semalam.

Semalam juga, katanya penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 838 premis perniagaan serta terhadap peruncit, pemborong dan pengilang.

Loading...
Terkini