comscore
Tumpuan :
Nasional

137 PATI ditahan di tapak binaan Johor


Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 137 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah kawasan tapak pembinaan di Jaya Putra di sini, tengah malam tadi. – FOTO: JIM Negeri Johor

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Johor menahan 137 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi penguatkuasaan di tapak pembinaan di Jaya Putra di sini, tengah malam tadi.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir, berkata operasi jam 12.38 tengah malam itu dilakukan susulan maklumat awam berhubung kebanjiran penempatan warga asing di kawasan berkenaan yang mendatangkan kegusaran dan ketenteraman penduduk setempat.

“Dalam Ops Sapu itu, lebih 12 rumah kongsi dianggar melebihi 200 bilik diperiksa.

“Seramai 219 warga asing dan seorang warga tempatan diperiksa sebelum 137 daripadanya ditahan.

FOTO: JIM Negeri Johor

“Mereka yang ditahan merangkumi 17 wanita dan 81 lelaki warga Indonesia, 19 lelaki warga Bangladesh, dua wanita dan 14 lelaki warga Myanmar, seorang wanita dan seorang lelaki warga Vietnam serta dua lelaki warga Pakistan yang semuanya berusia dalam lingkungan 18 hingga 55 tahun,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mereka yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki pas atau permit sah untuk berada di Malaysia dan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa.

Katanya, seorang lelaki warga Indonesia disiasat di bawah Seksyen 56(1)(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana menggunakan atau memiliki pas lawatan sosial palsu.

Baharuddin berkata, semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Beliau berkata, usaha penguatkuasaan di seluruh Johor akan ditingkatkan bagi membanteras isu kebanjiran PATI di negeri itu.

“Semua majikan yang sudah mendaftarkan PATI untuk program RTK 2.0 diminta segera menyelesaikan proses verifikasi bagi membolehkan proses urusan pengeluaran permit kerja sementara disempurnakan.

“PATI digalakkan menyertai Program Repatriasi Migran bermula pada 1 Mac sehingga 31 Disember 2024 yang membenarkan mereka pulang ke negara asal secara sukarela,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini