comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

1,700 kilogram daging lembu terjual dalam tempoh dua jam

Orang ramai beratur bagi mendapatkan bekalan daging segar pada harga mampu milik di Kampung Batu Tumbuh, dekat Kampung Raja, Besut, pagi tadi. – FOTO: Ihsan Aswadi Hussin.

BESUT: Hanya dalam tempoh dua jam kira-kira 1,700 kilogram daging lembu segar dijual pada harga RM20 satu kilogram habis terjual di Kampung Batu Tumbuh, dekat Kampung Raja di sini, pagi tadi.

Peniaga daging lembu, Aswadi Hussin, 32, berkata lebih 300 penduduk beratur seawal jam 7 pagi untuk mendapatkan bekalan daging lembu yang dijual dengan harga murah.

Katanya, sebanyak 13 ekor lembu siap disembelih di rumah sembelihan Gong Badak, Kuala Terengganu malam tadi sebelum dijual secara terus kepada orang ramai hari ini.

“Niat saya untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat di sini yang banyak menyokong perniagaan saya sejak enam tahun lalu,” kata Aswadi.

Jelas Aswadi, dia membuat jualan murah itu selepas melihat sambutan menggalakkan semasa menjual sekilogram daging segar juga dengan harga RM20 pada Selasa lalu.

Semasa itu, dia hanya menggunakan tiga ekor lembu dan semua daging habis terjual dalam tempoh setengah jam.

Tambah Aswadi, dia membuat keputusan untuk meneruskan jualan itu hari ini dan dengan membabitkan sehingga 13 ekor lembu bagi mengambil keberkatan hari Jumaat dan kerana hari ini masih dalam bulan Syawal.

Aswadi yang dibantu 10 pekerja berkata mereka juga terpaksa menghadkan setiap pelanggan hanya boleh membeli paling banyak hanya lima kilogram seorang untuk memberi peluang kepada lebih ramai orang turut sama dapat merasainya.

Selain daging, dia juga meletakkan harga RM20 satu kilogram untuk bahagian tulang, perut lembu serta organ dalaman haiwan itu.

“Jika diikutkan harga jualan biasa untuk satu kilogram daging adalah RM30 manakala bahagian tulang RM28,” katanya.

Katanya, setiap pelanggan juga perlu beratur untuk membeli serta tidak dibenarkan membuat tempahan awal bagi memberi keadilan kepada semua pihak.

Jelas Aswadi, dia bersyukur kerana melalui usaha ini sekurang-kurangnya dapat membantu lebih ramai keluarga membeli daging segar pada harga murah serta mampu milik.

“Jika ada rezeki saya berhasrat untuk mengadakan semula jualan murah ini namun bergantung kepada bekalan lembu serta keadaan semasa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini