comscore
Tumpuan :
Kemalangan

4 beranak terselamat van terbakar dalam kemalangan

Foto: JBPM

KOTA KINABALU: Empat beranak terselamat selepas van yang dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, tengah malam tadi.

Pemandu van lelaki berusia 33 tahun, isterinya, 31, dan dua lagi anak perempuan dan lelaki cedera di bahagian kaki.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba Riki Mohan Singh Ramday, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 12.57 tengah malam.

Beliau berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Toyota Vios dan Nissan Vanette.

“Operasi pemadaman dilakukan sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu diketuai Pegawai Bomba Kanan II Evan Bobby.

“Kemalangan mengakibatkan van berkenaan terbakar 60 peratus di bahagian enjin dan anggota bomba melakukan pemadaman menggunakan satu aliran hos dan foam.

“Empat mangsa yang terbabit kemalangan dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi Berita Harian hari ini.

Katanya, anggota bomba kemudian melakukan rawatan awal seterusnya menghantar mangsa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan jam 1.25 pagi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini