comscore
Tumpuan :
Nasional

Air Sungai Pasir keruh, LRA Wangsa Maju dihenti tugas sementara – LUAS

Kakitangan LUAS memantau keadaan Sungai Pasir selepas mengesan kadar kekeruhan di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Wangsa Maju, semalam. – FOTO: LUAS / Facebook

SHAH ALAM: Hakisan tanah dalam kawasan hutan simpan Hulu Gombak susulan hujan lebat dipercayai punca kekeruhan di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, pihaknya mengesan kekeruhan melebihi 400 NTU kira-kira jam 4 petang.

Susulan itu, operasi muka sauk LRA Wangsa Maju dihenti tugas sementara sebagai langkah kawalan.

FOTO: LUAS / Facebook

“Bagaimanapun, tiada gangguan penyaluran air mentah ke LRA Wangsa Maju kerana pembekalan air mentah diaktifkan terus dari Empangan Klang Gates.

“Tiada sebarang kesan kepada pengguna berkaitan pembekalan air terawat susulan henti tugas sementara muka sauk berkenaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, semalam.

LUAS berkata, pihaknya segera melakukan pemerhatian di lapangan dan hasil semakan mendapati, kekeruhan berpunca dari Sungai Pasir.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini