comscore
Tumpuan :
Nasional

Aktiviti ‘River Hiking’ di Lembah Maksina, tidak mendapat kelulusan – Polis

LAHAD DATU: Polis mengesahkan aktiviti ‘river hiking’ yang mengorbankan tiga nyawa di Lembah Maksina, Sungai Makuou, Tungku, di sini, semalam tidak mendapat kelulusan atau kebenaran daripada Jabatan Perhutanan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, pihaknya tidak menerima sebarang pemaklumanan mengenai aktiviti itu dilaporkan kepada Balai Polis Tungku.

“Kejadian berlaku di Hutan Simpan Silabukan. Memasuki hutan simpan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, di sini, hari ini.

Dzulbaharin berkata, bilik gerakan IPD Lahad Datu menerusi panggilan MERS 999 melaporkan 12 orang terbabit dalam aktiviti ‘river hiking’ terperangkap dalam insiden kepala air di Sungai Makuou, Tungku, jam 8.30 malam.

Katanya, bertindak atas laporan, sepasukan polis dari Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Tungku tiba di lokasi kejadian di Kampung Makuou, Sungai Makuou jam 10.30 malam.

“Operasi menyelamat dimulakan oleh agensi yang terbabit iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tungku.

“Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan sembilan individu warga tempatan dan tiga juru pandu.

“Semua warga tempatan diberikan rawatan di Klinik Kesihatan Tungku,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati 11 peserta melakukan ‘river hiking’ bersama empat juru pandu kira-kira jam 9 pagi semalam.

“Hasil siasatan juga mendapati 11 peserta adalah kakitangan syarikat kelapa sawit yang beroperasi di daerah ini, manakala empat juru pandu adalah warga asing yang kerap dilantik sebagai juru pandu dalam aktiviti ini,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini seramai tiga mangsa meninggal dunia kerana lemas iaitu seorang lelaki dan seorang wanita yang merupakan warga tempatan dan seorang juru pandu warga asing yang mempunyai pasport.

Loading...
Terkini